Monday, November 2, 2009

1 MALAYSIA


Johan Nicholson: Aktif Kumpul Barangan Lama Di Sebalik Usia Senja.


Oleh Melati Mohd Ariff

KUALA LUMPUR, 20 Okt (Bernama) -- "Ada orang ketagih dadah, ada pula yang ketagih tembakau atau alkohol, saya pula ketagih mengumpul barang. Malahan isteri saya berkata ada kalanya saya terbawa-bawa dengan ketagihan saya ini," kata Johan Nicholson, 67, warga negara British yang menetap di Malaysia sejak 1968.

Penulis secara tidak sengaja bertemu dengan Johan ketika melihat-lihat jualan bazar yang diadakan di sebuah pusat membeli belah di Jalan Ampang di sini baru-baru ini.

Johan ketika itu mempamerkan beberapa koleksi peta, gambar, buku dan iklan lama di meja jualannya.

Graduan Sejarah dari Universiti Cambridge University, United Kingdom, Johan tidak menjadikan guru sejarah sebagai kariernya kerana nyalarasanya lebih kepada bidang penerbitan.

"Sebetulnya saya ke Universiti London untuk menjadi guru sejarah tetapi di sana saya dapat tahu Oxford University Press (OUP) sedang membuat pengambilan petugas untuk dihantar ke luar negara. Saya pergi temu duga dan saya seorang daripada empat yang berjaya.

"Itu berlaku pada 1964 and saya dihantar ke Karachi selama dua tahun," jelas Johan yang menjelaskan beliau dibesarkan di Lavenham Suffolk, sebuah kampung zaman pertengahan tercantik England.

PENGALAMAN KERJA

Johan yang dilahirkan empat hari sebelum serangan ke atas Pearl Harbor (oleh tentera laut Jepun) berkata beliau mempelajari asas-asas penerbitan ketika berkhidmat sebagai pembantu editorial di Karachi.

Selepas Karachi, beliau ditugaskan ke Hong Kong dan dinaikkan pangkat sebagai editor.

"Saya berada di Karachi semasa meletus perang antara India dan Pakistan dan apabila saya tiba di Hong Kong, ketika itu sedang berlaku Revolusi Kebudayaan.

"Keadaan ketika itu kacau-bilau, demonstrasi besar-besaran, ramai yang cedera tetapi tidak menjejaskan saya. Lagi pun kampung halaman saya beribu batu jauhnya, apa yang boleh saya lakukan? Teruskan saja kerja," katanya dalam wawancara dengan Bernama.

Johan dihantar ke Kuala Lumpur pada 1968 sebagai ketua pengarang di mana beliau mengambil alih operasi penerbitan bahasa Inggeris OUP. Pada 1970, beliau menjadi pengurus dan menyandang jawatan itu selama beberapa tahun.

Beliau juga mendirikan rumah tangga pada tahun yang sama dengan seorang wanita Melayu rakyat Malaysia, Nur Hayati Mohamed, yang menurut Johan antara wanita pertama berkhidmat dengan perkhidmatan luar negara. Pasangan ini kemudian menetap di Petaling Jaya.

Johan yang tidak berapa berminat dengan bidang pengurusan kemudian mengambil alih operasi pengajaran bahasa Inggeris OUP untuk Asia termasuk Jepun.

"Pejabat saya di Kuala Lumpur, tetapi tugas saya membawa saya ke merata Asia terutama sekali Indonesia. Saya juga banyak menghabiskan masa di Jepun, Hong Kong dan Thailand," kata Johan.

Dari jawatan pengurus, beliau kemudian menjadi pengurus serantau OUP, bertanggungjawab ke atas semua pejabat di Timur Asia dan kemudian dilantik sebagai penerbit serantau.

SELEPAS BERSARA

Johan berhenti dari OUP pada 1987 dan menubuhkan syarikatnya sendiri, dikenali sebagai Falcon Press, menerbitkan antaranya buku-buku sejarah dan membekalkan perisian kepada kerajaan Malaysia.

"Macam-macam yang kami buat. Ada masa bisnes bagus, ada masa jatuh," katanya, dan selepas hampir 18 tahun menjalankan perniagaan sendiri, beliau membuat keputusan untuk bersara.

Berbanding dengan sesetengah pesara yang lebih suka bersantai, Johan berkata dia perlu melakukan sesuatu yang menarik minatnya di samping mengamalkan Chi gong (Qigong) tiga kali seminggu, dan beriadah termasuk berjalan dan jogging.

Yang paling utama, katanya, beliau lakukan semuanya itu untuk menjaga kesihatan mindanya.

Johan yang kini mempunyai taraf Pemastautin Tetap (PR) amat berminat mengumpul barangan tembikar, antik dan barangan bersejarah termasuk peta dan buku.

Menurut Johan, beliau mula mengumpul barangan lama sejak di bangku sekolah rendah, dengan berkunjung ke kedai yang menjual barang terpakai untuk membeli buku dan peta lama.

Adik lelakinya, Jim, yang berusia tujuh tahun lebih muda daripada dirinya turut berkongsi minat yang serupa. Jim, katanya mempunyai koleksi 30,000 poskad lama.

"Nenek saya pernah berkata satu generasi mengumpul dan generasi yang lain membuang dan ini sebenarnya yang berlaku. Tak ada seorang pun daripada tiga orang anak saya yang berminat dengan apa yang saya lakukan. Anak-anak adik saya juga sama, tak berminat.

"Jadi kami mungkin menjual apa yang kami telah kumpul atau orang lain akan membuangnya apabila kami telah tiada. Sedih memikirkan jadi apa yang saya buat ialah menjadikan hobi saya sebagai satu perniagaan hobi," keluh Johan.

Mengambil bahagian dalam jualan bazar ialah satu daripada cara untuk Johan mempamer koleksinya di samping meletakkannya untuk jualan di laman webnya, www.popularpicturehistory.com.

Johan yang masih membeli barang lama untuk koleksinya berkata internet menjadikan lebih mudah mengetahui apa yang orang lain jual dan beliau juga tidak perlu banyak menjelajah.

"Banyak aspek kehidupan menjadi mudah dengan adanya kemudahan internet terutama perniagaan buku," katanya.

KOLEKSI JOHAN

Bercakap mengenai koleksinya, Johan berkata kebanyakan koleksinya dikumpul sejak 30 tahun lalu dan memenuhi dua bilik rumahnya.

Bilik-bilik itu, katanya, terlampau penuh sehingga sukar untuk beliau memasukinya.

Johan pantas memberitahu bahawa beliau tidak berkesempatan untuk menkatalogkan semua koleksinya memandangkan dia terpaksa melakukan sendiri semua yang perlu untuk perniagaan hobinya kecuali laman webnya di mana anaknya, Adam membantu untuk menyiapkannya secara profesional.

Mengenai koleksi bukunya, Johan berkata sejak dua tahun lepas, beliau memberi tumpuan kepada membeli bahan Malaya dan Borneo Utara, terutama dari luar negara.

"Jika anda mahu membeli buku yang bagus mengenai Malaya, elok kalau membelinya dari England, Australia atau Amerika. Masalahnya di Malaysia, kebanyakan buku akan rosak dimakan anai-anai," tambahnya.

Satu daripada buku koleksi Johan diterbitkan pada 1847. Buku itu, katanya diterbitkan oleh Longman bertajuk "Borneo and the East Indian Archipelago" yang mengandungi kisah pengalaman seorang anak kapal yang bekerja dengan sebuah kapal membuat peninjauan antara Singapura dan Jepun.

Buku itu, katanya, ialah buku yang asli yang dibeli di Singapura kira-kira 30 tahun lalu turut mengandungi gambar ukiran tempat-tempat menarik seperti Kuching, Brunei dan Gunung Kinabalu yang dilukis sendiri oleh anak kapal itu, Frank Marryat.

BUKU-BUKU LAIN

Johan berkata beliau juga mempunyai koleksi kira-kira 500 buku teks Malaysia, kebanyakannya mengenai pengajaran Bahasa Inggeris, Melayu, Sejarah dan Geografi.

Menurut Johan, buku teks terawal yang beliau miliki dikeluarkan sebelum perang dunia kedua sehingga sekitar 60-an.

"Saya berharap suatu hari nanti mahu memberikan buku-buku ini tetapi kenalah cari dulu orang yang berminat. Buku-buku ini boleh menjadi kajian menarik untuk pelajar PhD atau Ijazah Sarjana.

"Sepanjang yang saya tahu belum ada sesiapa lagi menulis mengenai buku teks di Malaysia. Menarik untuk melihat peralihan antara aliran Bahasa Inggeris dan Melayu yang berlaku pada 1970-an," kata Johan.

Untuk tujuan wawancara ini, Johan membawa bersama sebuah buku yang dianggapnya sebagai paling bernilai dalam koleksinya, bertajuk 'Sketches of Kuala Lumpur'.

Buku itu dikarang R.D.Jackson, yang ketika itu berkhidmat sebagai penjawat awam dan lakaran yang terkandung di dalamnya dibuat antara 1910 dan 1920.

"Sepanjang yang saya tahu, saya belum pernah melihat atau mendengar wujudnya naskah lain untuk buku ini. Buku ini tidak pernah diterbitkan dan ia diterbit sendiri. Saya beli buku ini di Singapura lama dahulu, mungkin pada awal 70-an dengan harga S$500. Saya tahu nilai buku ini apabila melihatnya," jelas Johan.

Antara lakaran yang terkandung dalam buku itu menunjukkan pemandangan Kampung Pudu, Jalan Petaling dan Jalan Melayu.

Johan juga membeli sebuah eksaiklopedia mengenai pelabuhan dan bandar raya beberapa buah negara termasuk Malaya, Singapura, Siam, Burma, Australia dan New Zealand.

Buku setebal 900 halaman itu, dibeli di internet dengan harga AS$400 dan dicetak sekitar 1920-an dan mengandungi beratus-ratus gambar.

"Saya belanja wang yang banyak untuk buku-buku ini kerana mungkin tak akan jumpa lagi buku seperti ini. Kesilapan yang anda boleh buat ialah pergi ke internet dan nampak buku yang menarik tapi anda tangguhkan untuk membelinya dan keesokannya anda dapati buku itu sudah dijual," kata Johan.

KOLEKSI LAIN

Bercakap mengenai koleksi petanya, menurut Johan, beliau telah membangunkan konsep 'PICMACs' (Pictorial Map Art Creations) menggabungkan peta, kad dan bendera.

Sebagai contoh, PICMAP pertama dipanggil "Malaya Remembered". Ia memaparkan peta tahun 1920-an dengan maklumat ensiklopedia di belakang, satu set kad gambar asli dari tahun 1920-an yang menunjukkan pemandangan Malaya dan set peta Negeri-negeri Melayu tahun 1930-an.

Kad foto itu, kata Johan, terkandung di dalam paket rokok yang dibuat oleh syarikat rokok untuk mempromosi jenama mereka!

"Saya gunakan bingkai kaca untuk kedua-dua belah muka supaya dapat dibaca keterangan di belakang kad dan peta. PICMAP ini satu kombinasi yang cukup menarik," jelas Johan.

Beliau juga berminat memberi buku panduan dan Straits Times Annuals kerana terpesona dengan iklan-iklan lama.

"Straits Times Annuals yang terawal saya miliki, dicetak pada 1956. Iklan-iklan sebelum merdeka memaparkan satu dunia yang berbeza dan saya dapati iklan-iklan itu cukup menarik.

"Satu daripadanya ialah Dutch Baby kini dipanggil Dutch Lady. Iklan itu dicetak sekitar 1950-an dan dalam empat bahasa (Bahasa Inggeris, Melayu, Cina dan Tamil). Ia mengandungi konsep 1Malaysia seawal kira-kira 50 tahun lalu," kata Johan.

Selagi masih ada kudrat, Johan berkata beliau akan terus mengumpul, sambil berkata beliau mahu rakyat Malaysia sentiasa ingat bahawa buku-buku lama mempunyai nilai tertentu.

"Ini ialah sebahagian daripada sejarah mereka tetapi nampaknya tak ramai yang kisah tentang perkara ini. Amat menyedihkan. Saya fikir buku-buku lama ini berguna untuk universiti-universiti baru yang dibuka dalam tempoh 10 tahun lepas dan mereka tidak ada buku-buku lama. Harap perniagaan saya ini dapat membantu.

"Pada saya setiap universiti perlu mempunyai sedikit gambaran masa lampau," kata Johan yang amat percaya kepada kepentingan sejarah.

"Saya membesar sebagai seorang ahli sejarah dan saya percaya zaman lampau menjurus kepada masa sekarang dan apa yang berlaku pada masa depan bergantung kepada masa silam. Mungkin semuanya tak betul tetapi keadaan masa kini dan lampau ada hubung kaitnya," kata Johan.

-- BERNAMA 20 Oktober, 2009

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...